Penari mengikuti Malam Bumi Kenyalang (MBK) dengan penuh semangat
May 9, 2024
Oleh Azizah Allyza Kaseran
Kampus Induk, 2 April - Perkumpulan Anak-Anak Sarawak (PERKASA) USM akan mengadakan Malam Bumi Kenyalang (MBK) kali ke-12 yang bakal berlangsung pada 25 Mei 2024. MBK merupakan sebuah program pertandingan seni tari tahunan yang terbesar PERKASA yang berlangsung setiap sidang.
Penari-penari yang dapat lulus dalam uji bakat pencarian penari bagi MBK ini akan menjalankan latihan menari mereka selepas minggu cuti Hari Raya Aidilfitri.
Menurut salah satu penari baharu MBK24, Anis Maisarah Rezman Abdullah, mereka diberikan beberapa keperluan untuk menari tarian Sarawak semasa uji bakat. Mereka diberikan beberapa minit untuk membuat persembahan tarian Sarawak, di mana lagu akan dimainkan dan di minta untuk menarikan tarian Sarawak.
“Saya membuat persediaan dengan bertanya dengan beberapa orang senior dari ‘Adikarma’ tentang bagaimana uji bakat itu akan berlangsung terutamanya tentang jenis koreografi yang perlu saya lakukan. Saya mengambil masa sehari untuk belajar dan mencipta satu koreografi dalam masa satu minit. Saya juga berlatih menari sekitar hanya dua hari sebelum uji bakat,” kata Anis.
Anis Maisarah Rezman Abdullah pernah menari tarian Sarawak yang diberi nama Rejang Be’uh dengan berpakaian tradisional kaum Bidayuh. Sumber Anis Maisarah Rezman Abdullah
Salah satu penari lama MBK, Mohammad Hizami berkata selalunya mereka akan berlatih sepanjang 1 bulan lebih. Sepanjang tempoh tersebut, mereka akan memulakan dengan latihan asas, meneroka gerak tari dan kemudian koreografi. Mereka akan bermula seawal pukul 9 malam dan akan habis paling lewat pada pukul 2 atau 3 pagi setiap hari. Guru tari mereka ialah Encik Ahmad Assahirin yang lebih dikenali sebagai Abang Shah yang merupakan Penolong Pengawai Kebudayaan BHEPA.
“Pengalaman saya menjadi penari MBK merupakan satu pengalaman yang berharga. Pelbagai memori yang telah dihasilkan bersama bermula daripada awal latihan sehinggalah dinobatkan sebagai juara MBK 2023 iaitu pada tahun lalu,” kata Zami.
Pembelajaran dan akademik juga adalah penting bagi seorang siswa-siswi dalam univeristi dan pengurusan masa yang baik adalah penting bagi mereka erutamanya yang terlibat dalam program-program universiti yang besar seperti itu.
“Pada mulanya sangat susah untuk saya mengimbangi masa latihan dan masa belajar. Namun saya akan memastikan semua tugasan kerja saya akan disiapkan sebelum latihan supaya semasa latihan saya boleh memberikan fokus sepenuhnya,” kata Zami.
Menurut Anis juga, beliau mencuba dengan sedaya upaya untuk memfokuskan terhadap pembelajarannya dan juga latihan menari. Ketika beliau pergi ke kelas, maka beliau akan memberikan fokus sepenuhnya terhadap pembelajaran manakala apabila beliau di studio tarian maka beliau akan memberikan fokus sepenuhnya terhadap koreografi.
Mengekalkan kejuaraan adalah satu perkara yang sangat diingini oleh semua orang dan juga merupakan satu perkara yang melibatkan usaha yang berpanjangan tanpa henti. Namun menang atau kalah merupakan adat pertandingan, maka jangan mudah menyerah dan setiasa bersemangat.