Oleh Muhammad Ilyas Nu’man Azmi
SKRU sedang mempersembahkan Tarian Ronggeng yang diiringi musik asli yang dimainkan secara langsung. Gambar Muhammad Ilyas Nu’man Bin Azmi
KAMPUS INDUK, 5 MEI 2024 - Dewan Budaya (DB) Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Protégé USM telah mengadakan Himpun Budaya bermula 2 Mei sehingga 5 Mei yang diisi dengan 8 buah program sepanjang tiga hari iaitu Buka, Kunyah, Main, Palu, Puisi, Wayang Pacak, Cipta dan program utama mereka Rentak.
Program Rentak Himpun Budaya atau lebih dikenali sebagai Malam Rentak merupakan program terakhir dan kemuncak bagi Himpun Budaya 2024 bertempat di Auditorium Dewan Budaya USM pada 5 Mei bermula 8.30 malam sehingga 11 malam,
Menjadikan Malam Rentak itu lebih istimewa adalah dengan kolaborasi bersama Kumpulan Kesenian Adikarma USM, Pertubuhan Siswa-siswi Sabah USM (PERSIS), Kumpulan Muzik Asli dan Keroncong Alunan Mutiara USM, Kumpulan Gemalai Tari USM, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan penyertaan khas Fakulti Seni dari Songkhla Thailand Rajabhat University (SKRU).
Malam Rentak merupakan malam budaya yang menampilkan persembahan kebudayaan tradisional Malaysia dan Thailand seiringan dengan konsep Himpun Budaya tahun ini iaitu “Merentasi Sempadan” yang memberi fokus untuk menunjukkan seni budaya merupakan satu jenis alat komunikasi yang boleh menghubungkan manusia tanpa mengira sempadan.
Ini merupakan kolaborasi kedua Dewan Budaya USM bersama SKRU di mana pertemuan kali pertama adalah pada tahun lepas di SKRU sendiri yang membawa 15 orang pelajar USM untuk merasai pengalaman Tarian Menora dan Tarian Ronggeng manakala mereka merasai pengalaman Mak Yong dan Tarian Inang.
Menurut Pegawai Kanan Kebudayaan Dewan Budaya yang merupakan Pengarah Projek Himpun Budaya, Andy Siti Nurhidayah Rahim, Malam Rentak merupakan sesuatu yang sangat istimewa bagi dirinya dan juga DB yang sudah dijalankan sepanjang tiga tahun berturut-turut kerana di sinilah kami sebagai artis kebudayaan dapat menampilkan keunikan dan bakat dalam konteks kebudayaan.
“Malam Rentak ini merupakan peluang dan pentas untuk menarik minat anak-anak muda untuk memahami dan merasai sendiri pengalaman kebudayaan dan seni tari yang jarang diketengahkan seperti Seni Makyong dan Madsayau. Saya berharap sejarah panjang dan keunikan budaya negara kita terus mekar dan diingati buat masa yang lama agar tak ditelan oleh kemodenan” tambahnya lagi.
Pelajar SKRU, Nattapon Yosom bersama pasangannya sedang mempersembahkan tarian tradisional daripada Thailand. Gambar Muhammad Ilyas Nu’man Bin Azmi
Menurut pelajar tahun akhir dari Pusat Pengajian Seni, SKRU, Nattapon Yosom, Malam Rentak ini merupakan sebuah platform yang sangat bagus untuk memperkenalkan tarian tradisional dari negara mereka kepada negara luar dia dapat merasa pengalaman mempelajari tarian dari negara lain adalah sesuatu yang sangat istimewanya baginya.
“Setelah perjumpaan kali pertama di SKRU, Thailand bersama mereka, kali ini kami yang datang ke USM. Selain dapat berjumpa semula rakan-rakan saya, saya sangat seronok dapat merasai pengalaman kebudayaan dari negara yang lain dan berharap untuk program ini diteruskan buat masa yang lama agar hubungan baik antara dua buah negara dapat diteruskan.