Jamuan Hari Raya Aidilfitri merapatkan silaturrahim antara siswa
Jun 24, 2024
By Azizah Allyza Kaseran
Siswa siswi Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) tahun 2 kumpulan 2022/2023 menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama. Sumber Azizah Allyza Kaseran
Kampus Induk, 30 April 2024 - Siswa siswi Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) bagi kumpulan 2022/2023 mengadakan jamuan Hari Raya Aidilfitri di The Brick Siswaniaga, USM pada pukul 8 malam hingga 11 malam hari Selasa. Jamuan Hari Raya Aidilfitri ini dijayakan oleh siswa siswi PPK yang mempunyai semangat dalam menjadikan jamuan tersebut walaupun mempunyai beberapa hari sahaja sebelum hari kejadian.
Menurut siswi USM, Azera Farahanim Roduan, Komunikasi 2, tujuan mereka mengadakan jamuan Hari Raya Aidilfitri itu adalah untuk merapatkan hubungan silaturahim antara rakan sekelas kerana sebelum ini mereka semua kurang bertegur sapa dan kurang duduk makan bersama. Jamuan itu merupakan salah satu cara yang terbaik untuk merapatkan hubungan mereka dengan menikmati hidangan hari raya dan bersembang bersama.
“Saya sangat teruja apabila melihat ramai juga yang menyukai dan menghadiri jamuan hari raya ini kerana pada mulanya saya tidak mengharapkan sebarang sambutan daripada rakan sekelas saya. Namun, mereka juga teruja dengan jamuan hari raya yang saya dan rakan-rakan yang lain yang cuba menjayakan jamuan ini,” kata Azera.
Siswi USM, Nur Ainun Rahmah Sabu, Komunikasi 2, berkata sebagai salah satu ahli PERKOM, beliau ingin berterima kasih kepada sesiapa yang menjayakan jamuan hari raya tersebut bersama dengan semua rakan sekelas yang hadir.
“Saya berasa sangat terkejut apabila mengetahui bahawa jamuan hari raya ini dijayakan dalam masa beberapa hari sahaja. Hal ini kerana untuk menyediakan tempat, makanan dan minuman dan juga kehadiran semua rakan sekelas juga adalah sukar untuk diselesaikan dalam masa beberapa hari. Saya kagum dengan usaha mereka yang menjayakan jamuan ini dan saya harap semua orang pada malam itu berasa seronok menikmati jamuan tersebut,” kata Ainun.
Menurut siswa USM, Muhammad Adam Shadiqin Khairi Azhar, Komunikasi 2, makanan yang dihidangkan kepada mereka adalah sangat sedap pada malam tersebut. Makanan yang disediakan sangat tepat dengan jamuan hari raya dan terdapat pizza juga yang ditaja oleh Ainun.
“Makanan yang saya paling suka adalah sate dan kuah sate tersebut juga sangat sedap. Saya sudah tambah berkali-kali dan makanan lain juga sangat sedap. Makanan yang disediakan adalah nasi minyak, ayam masak merah, dalca, mee goreng, nasi impit, sate dan juga air sirap. Walaupun air sirap pada malam itu tidak mencukupi bagi semua orang, beberapa orang rakan sekelas lelaki pergi membeli air bergas sebagai air tambahan untuk semua,” kata Adam.
Jamuan Hari Raya Aidilfitri tersebut berjalan dengan lancar walaupun ada beberapa cabaran dan dugaan yang dihadapi. Jamuan tersebut diakhiri dengan baik dan semua orang memberikan ulasan yang baik.