Oleh Azizah Allyza Kaseran
Kampus Induk, 28 Mac - Sekretariat Sahabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) USM menganjurkan ceramah Nuzul Al-Quran bersempena dengan Hari Nuzul Al-Quran bagi Program Ihya’ Ramadan untuk membangunkan suasana di Bulan Ramadan ini.
Ceramah ini diadakan secara dalam talian iaitu melalui Webex pada pukul 6 petang hingga 7 petang pada 28 haribulan Mac. Program ini menyediakan MyCSD bagi sesiapa yang mengikuti ceramah ini dengan melakukan pendaftaran secara percuma.
Tajuk ceramah ini adalah Taqwa sebagai Objektif Puasa yang diceramahkan oleh Prof. Madya. Mohd Nizam bin Sahad yang juga merupakan penasihat PERKIM.
Menurut Yang Di-Pertua PERKIM USM, Muhammad Muqri Hafidz Mohd Lopi, PERKIM berjaya menjayakan Program Ihya Ramadan buat kali kedua pada sidang tahun ini dan terdapat beberapa program yang dianjurkan oleh PERKIM dalam Program Ihya Ramadan iaitu ada Program Tadarus Al-Quran dan Program Khatam Al-Quran.
Seterusnya, ada Ceramah Nuzul Al-Quran dan Musabaqah Ramadan yang mempunyai empat program lagi iaitu Pertandingan Khat, Pertandingan Kuiz Ramadan, Pertandingan Hafazan dan Pertandingan Azan. Sesiapa yang ingin menonjolkan bakat boleh menyertai dengan pergi ke laman sosial ‘sahabatperkimusm’ di Instagram, Facebook dan TikTok.
“Saya rasa terharu dan terima kasih kepada semua yang mengikuti ceramah ini terutamanya kepada ada juga orang yang bukan islam menyertai ceramah tersebut iaitu terdiri daripada kaum Cina dan kaum India untuk lebih mengetahui apa itu Islam,” kata Muqri.
Penasihat PERKIM, Prof. Madya. Mohd Nizam Sahad berkata dalam ceramah ini terdapat satu ayat al-Quran dalam surah al-Baqarah yang selalu kita dengar di bulan puasa ini yang menyatakan tentang kefardhuan ataupun kewajiban umat islam berpuasa iaitu ‘Wahai orang orang yang beriman diwajibkan/difardhukan ke atas kamu untuk berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat umat terdahulu daripada kamu dan tujuannya mudah mudahan kamu beroleh ketaqwaan kepada Allah SWT’.
“Secara ringkasnya yang kita boleh katakan tentang maksud taqwa adalah kita sebagai hamba Allah menuruti apa yang Allah perintahkan, makna kita taat kepada segala perintah Allah dan kepada segala larangan Allah kita hindari kita menjauhinya maka tergolonglah kita dalam kalangan orang-orang yang bertaqwa kepada Allah. Taqwa kepada Allah ini adalah amat penting kerana satu ayat al-Quran yang menyatakan bahawa sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih taqwa nya diantara kamu. Jika kita ingin menjadi orang yang disayangi oleh Allah kenalah menjadi orang yang bertaqwa kepada suruhan Allah,” kata Prof. Nizam.
Program Ihya Ramadan yang dijalankan ini adalah untuk membentuk rasa taqwa dan kesedaran taqwa dalam kehidupan umat Islam. Apabila ada kesedaran taqwa itu, semoga akan melewati juga pada bulan-bulan yang lain selain daripada bulan Ramadan ini dan hidup dalam bertimbangkan atau suasana yang mengikut segala syariat Allah di mana perkara yang perlu dilakukan, umat Islam lakukan, yang mana perlu dihindarkan, umat Islam hindarkan.