top of page

Rasa Korea di Malaysia

Jun 25, 2024

Oleh Iqlima Natasha


Malaysia, dengan masyarakatnya yang majmuk dan budaya yang pelbagai, sentiasa menjadi destinasi pilihan bagi para pelancong dari seluruh dunia untuk datang bercuti. Tidak hanya kepada pelancong malah, Malaysia juga menjadi tarikan para peniaga untuk datang mengembangkan perniagaan mereka. Salah satu contoh yang menarik perhatian ialah kehadiran seorang peniaga warganegara Korea yang telah memilih Pulau Pinang, Malaysia sebagai tempat untuk membuka restoran makanan Korea.


Jang Min, 44, seorang tukang masak berwarganegara Korea Selatan telah menetap di Pulau Pinang menjalankan sebuah perniagaan dengan membuka dua buah kafe makanan Korea. Beliau merupakan pemilik Kafe Shwimpyo dan Kafe Mala Noodle yang bertempat di Plaza Ivory, Gelugor, Pulau Pinang.


Kedudukan kedua-dua Kafe Shiwmpyo dan Kafe Mala Noodle di Plaza Ivory. Sumber Iqlima Natasha


Jang telah memulakan perniagaannya pada tahun 2017, dengan pembukaan Kafe Shwimpyo dan kemudiannya telah mengembangkan perniagaannya dengan pembukaan Kafe Mala Noodle pada bulan Oktober 2023. Kafe Shwimpyo merupakan sebuah kafe yang menyajikan makanan tradisi Korea manakala Kafe Mala Noodle menyediakan  makanan sup pedas Mala.


Menurut Jang, beliau ingin pelanggan yang singgah ke kafe itu untuk berehat seketika sambil menikmati hidangan Korea yang dimasak olehnya. Pemilihan nama kafe Shwimpyo ini turut mempunyi makna tersirat yang menarik, iaitu perkataan ‘shwimpyo’ yang bermaksud tanda koma dalam bahasa Korea.


“Saya memilih nama Kafe Shwimpyo ini atas satu sebab yang saya rasa menarik jika diceritakan kepada orang. Sama seperti fungsi tanda koma dalam  sesebuah ayat, saya ingin pelanggan yang datang ke kafe saya untuk berehat sebentar dari apa-apa pekerjaan yang mereka lakukan pada hari itu. Oleh itu, saya amat mementingkan keselesaan  pelanggan yang datang untuk menjamu  makanan yang saya sendiri sediakan di kafe saya ini”, ujarnya.


Beliau memilih untuk membuka kafe makanan korea di Malaysia adalah atas faktor hospitaliti yang diterima olehnya daripada penduduk tempatan. Tambahan pula, beliau amat menyukai suasana di persekitaran Pulau Pinang kerana menurutnya Pulau Pinang mengingatkan  beliau kepada kampung halamannya di Korea iaitu Pulau Geoje. 


Pada awal perniagaannya, beliau merasakan salah satu cabaran terbesar yang dihadapinya sebagai seorang usahawan di Malaysia adalah perbezaan budaya kerja di Malaysia dan di Korea. Menurutnya, budaya kerja di Malaysia lebih santai berbanding budaya kerja di Korea yang mementingkan kepantasan dalam mengerjakan sesuatu pekerjaan. Antara pengalaman yang kongsikan olehnya adalah ketika beliau perlu menunggu selama satu tahun enam bulan untuk lesen perniagaannya diluluskan.


Selain itu, cabaran besar lain beliau adalah kesukaran dalam mengupah pekerja sepenuh masa. Kedudukan Kafe Shwimpyo dan Kafe Mala Noodle yang terletak di kawasan kampus Universiti Sains Malaysia (USM), kebanyakan pekerja hanyalah pekerja sambilan yang merupakan mahasiswa-mahasiswi yang belajar di USM. 


Rachelle Mellanie, seorang pekerja sambilan yang turut menuntut di USM menyatakan bahawa kesukaran yang dihadapinya bekerja di Kafe Shwimpyo untuk tempoh masa yang lama. Hal ini disebabkan kekangan masanya yang terhad sebagai seorang siswi yang menyebabkan sukar baginya untuk komited dalam kedua-dua tugasnya.


“Saya hanya dapat bekerja di Kafe Shwimpyo selama dua bulan sahaja kerana masa saya yang terikat dengan jadual saya sebagai seorang pelajar dan juga seorang pekerja. Tapi, setakat ini saya rasa seronok dapat bekerja bersama Mr. Jang Min, beliau seorang yang baik selalu memberi tunjuk ajar kepada kami”, kata Rachelle.

Keperibadian Jang yang disenangi oleh para pekerjanya juga merupakan salah satu faktor yang menarik perhatian pelanggan untuk terus menjamu selera di kedainya. Beliau seorang yang sentiasa bertimbang rasa dan  merendah diri terhadap pekerja dan pelanggannya. Beliau turut gemar meminta pendapat dan maklum balas daripada para pelanggan tentang prestasi masakan yang dihidangnya untuk diperbaiki kekurangannya pada masa akan  datang.


Jang Min, 44, pemilik Kafe Shwimpyo dan Kafe Mala Noodle. Sumber Iqlima Natasha



Alin Hannani, seorang pelanggan tetap Kafe Shwimpyo dan Kafe Mala Noodle berkongsi pengalamannya menjadi pelanggan di kafe itu. Menurutnya, Jang bukan sahaja seorang yang pemurah tetapi dia juga seorang yang sedia menerima pendapat daripada orang-orang lain untuk memperbaiki prestasi dirinya.


“Banyak kali saya datang ke sini jika saya teringin untuk makan makanan Korea. Saya amat menyukai menu-menu yang disediakan kerana jika dibandingkan dengan kedai atau restoran lain yang menjual makanan Korea, hanya Kafe Shwimpyo ini sahaja yang menawarkan harga yang berpatutan.

"Dan saya juga agak menyenangi servis pelanggan di sini kerana pemilik kafe selalu bertanyakan pendapat saya tentang hidangannya dan beliau juga akan sentiasa menambah baik menunya setelah mendengar pendapat para pelanggan,” kat Alin.


Secara keseluruhannya, kejayaan kafe ini bergantung kepada penerimaan dan sokongan daripada masyarakat tempatan. Oleh itu, usaha untuk menyesuaikan rasa dan gaya penyajian agar sesuai dengan selera tempatan tanpa mengorbankan keaslian masakan adalah penting. Jang berharap lebih ramai peniaga asing akan melihat Malaysia sebagai tempat yang sesuai untuk memulakan perniagaan mereka kerana semangat keusahawanan dan inovasi yang kuat di negara ini.







Jun 25, 2024

bottom of page