Oleh Muhammad Ilyas Nu’man Azmi
Atlet Futsal lelaki Desasiswa Tekun mewakili SUKAD fasa 3. Gambar Muhammad Adam Shadiqin
KAMPUS KESIHATAN, 28 Mei 2024 - Sukan Antara Desasiswa (SUKAD) bagi sidang akademik 2023/2024 telah kembali dalam fasa ketiga yang bertempat di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) bermula 24 Mei sehingga 26 Mei 2024.
SUKAD merupakan kejohanan sukan antara siswa/siswi USM yang mempertandingkan lebih daripada 30 acara yang melibatkan penghuni desasiswa ketiga-tiga Kampus Induk, Kejuruteraan dan Kesihatan termasuk yang tinggal di luar kampus di bawah nama PETAS yang dipantau oleh Jawatankuasa Induk yang terdiri daripada pegawai-pegawai unit sukan dan penggawa desasiswa.
Semua atlet SUKAD yang mewakili setiap desasiswa telah melalui latihan harian yang dilakukan dengan pantauan Majlis Perwakilan Desa (MPD) bagi persediaan untuk fasa ketiga yang mempertandingkan Sukan Badminton, Ping Pong, Takraw dan Futsal.
Nasib tidak menyebelahi Desasiswa Tekun bagi SUKAD fasa tiga ini apabila perlu menerima kekecewaan apabila ke semua atlet SUKAD yang mewakili Desasiswa Tekun tersingkir di pusingan awal dan gagal mara ke pusingan akhir bagi setiap sukan yang dipertandingkan di fasa ketiga ini.
Menurut Ahli MPDT, Muhammad Adam Shadiqin, semua atlet SUKAD Tekun telah melakukan yang terbaik dan sentiasa memberikan komitmen yang tinggi semasa pertandingan dan juga latihan berlangsung dan pihak mereka menerima semua keputusan dengan hati yang terbuka kerana kalah atau menan itu merupakan adat pertandingan.
“Saya yakin walaupun tuah dan rezeki tidak memihak kepada Desasiswa Tekun tetapi kami semua sudah cuba sedaya upaya kami dan yang paling penting kami membawa pulang semangat dan pengalaman yang tidak dapat dijumpai di mana-mana. Semangat sepasukan Tekun adalah yang paling terbaik bagi saya dan saya sangat bangga dengan semua tenaga yang terlibat”, tambahnya lagi.
Menurut wakil atlet futsal Desasiswa Tekun, Muhammad Amir Muqri, sememangnya mereka meletakkan harapan yang tinggi sebelum perlawanan dengan berharap mereka boleh ke separuh akhir sekurang-kurangnya tetapi dia merasakan semua itu hanyalah adat permainan dan dia sudah merasa bangga dengan diri dan pasukannya.
“Kami sudah lakukan yang terbaik dan menerima keputusan dengan hati terbuka. Pasukan dari Jaya Lembaran Utama dan Bakti Permai merupakan lawan yang hebat dan dapat bertanding dengan mereka di atas padang yang sama merupakan peluang yang jarang dijumpai. Saya yakin jika kami terus berlatih lagi dan tetap berusaha, kami boleh berjaya dia SUKAD akan datang”, katanya lagi.
SUKAD fasa ketiga ini berakhir dengan menyaksikan Desasiswa Restu sebagai juara badminton kategori wanita, juara ping pong kategori wanita, dan naib juara ping pong kategori lelaki manakala takraw, dan badminton kategori lelaki dimenangi Desasiswa Cahaya Gemilang Harapan. Aman Damai pula muncul sebagai juara futsal kategori lelaki manakala futsal kategori wanita dimenangi Jaya Lembaran Utama.
Pasangan atlet badminton wanita Tekun sedang berbincang semasa tamat set permainan yang pertama. Gambar Muhammad Adam Shadiqin